
CYBERJAYA – Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz kecewa dengan laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu yang dengan sengaja menimbulkan khabar angin mengenai ketidakhadirannya di Parlimen hari ini kerana telah meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan.
Tengku Zafrul berkata, dakwaan itu adalah tidak benar dan ketidakhadirannya hari ini disebabkan mempunyai isu kecemasan.
“Saya ingin merujuk kepada laporan Utusan Malaysia yang bertanya samada saya telah letak jawatan. Ini berkaitan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2021 (2022) oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah di Parlimen.
“Sebenarnya, ini memang berdasarkan perancangan kita. Tahun lepas pun, Timbalan Menteri Kewangan juga yang bentangkan, atau mungkin Utusan Malaysia buat-buat tak tahu, tak ingat atau tak kisah?
“Mereka boleh saja minta pengesahan dari pejabat atau pegawai saya. Saya mohon, kalau boleh, adillah sikit bila buat laporan media, gunakanlah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan menghebahkan khabar angin,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, beliau juga tidak berniat untuk tidak menunaikan tanggungjawabnya dengan menjawab soalan Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) sebagai Menteri Kewangan.
“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) soalan MQT, hanya menteri sahaja yg boleh memberikan jawapan, dan ini bukan pertama kali seorang menteri diminta untuk membacakan jawapan menteri lain. Banyak precedent on this.
“Terima kasih Menteri Agama kerana membacakan jawapan saya. Semua soalan tambahan akan saya sediakan jawapan secara bertulis, dan saya meminta maaf kepada Padang Serai serta Tumpat dan Pokok Sena (yang bertanya soalan tambahan) atas kesulitan yang telah berlaku,” katanya.
Sejak semalam beberapa media memainkan semula kenyataan Tengku Zafrul menerusi wawancara bersama media tempatan sebelum ini sebagai berkata, beliau rela meletak jawatan daripada berkompromi dengan sebarang keputusan melibatkan kementeriannya yang difikirkan silap, termasuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara sekali.
Ia selepas Perdan Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 semalam.