LHDN kesan terdapat syarikat seleweng minyak masak bersubsidi

0
316
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi.

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesahkan wujudnya elemen ketirisan dan lari daripada membayar cukai dalam kalangan syarikat yang menerima subsidi minyak masak.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap 63 buah syarikat yang dikenal pasti, dan daripada jumlah itu, sebanyak 44 buah syarikat dikenal pasti melaporkan pendapatan kurang dari yang diterima.

“Sementara itu, 19 buah syarikat lagi didapati tidak mempunyai fail cukai,” kata Mohd. Nizom, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Op Saji di Ibu Pejabat LHDN di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, Op Saji dilancarkan berikutan pendedahan kegiatan penyelewengan subsidi minyak masak oleh segelintir pihak yang menyebabkan kekurangan bahan tersebut di pasaran.

“Mengambil kira kepada isu yang melibatkan kepentingan awam, LHDN menerusi Jabatan Siasatan dan Jabatan Perisikan dan Profiling terpanggil untuk melakukan analisa awal terhadap senarai penerima subsidi minyak masak,” kata Mohd. Nizom.

Siasatan yang dilaksanakan pada 21 hingga 23 Mac itu melibatkan 412 pegawai penyiasat daripada 16 buah cawangan siasatan LHDN di seluruh negara.

Jelas Mohd. Nizom, antara faktor penyumbang kepada pendapatan terkurang lapor melalui aktiviti penyelewengan adalah kerana kuota subsidi yang diberikan kepada pihak ketiga yang menyebabkan wujudnya jualan yang tidak dilaporkan, dan akibat transaksi jualan yang tidak lengkap dan meragukan.

“Hasil daripada maklumat mendapati, pendapatan terkurang lapor kesan dari aktiviti penyelewengan subsidi ini dianggarkan (bernilai) RM1 bilion melibatkan Tahun Taksiran 2018 hingga 2020.

Tambahnya, pembayar cukai yang gagal me;aporkan dengan betul cukai pendapatan akan disiasat dibawah Seksyen 112(3) dan Seksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang mana boleh dikenakan penalti sehingga 300 peratus daripada amaun cukai yang terkurang lapor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here