
CYBERJAYA – Mulai 1 April, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memperkenalkan sistem e-Pindahan Telegrafik (e-TT) sebagai satu kaedah bayaran cukai.
Kata LHDN dalam satu kenyataan hari ini, e-TT boleh dilaknasakan menerusi kaedah Pindahan Telegrafik (Telegraphic Transfer), Pindahan Dana Elektronik (EFT) dan Pindahan Giro Antara Bank (IBG) dari dalam dan luar negara.
“(Mulai) 1 April 2022, Sistem e-TT akan diperkenalkan bagi bayaran Cukai Pendapatan, Cukai Petroleum, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), Bayaran Kompaun, Cukai Penghibur Awam (Seniman Kembara) dan Cukai Pegangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
LHDN menjelaskan, pengenalan kaedah ini membolehkan empat jenis bayaran iaitu Kompaun, Cukai Penghibur Awam (Seniman Kembara), Cukai Pegangan dan CKHT – Pegangan Cukai 3% oleh Pemeroleh Aset (Seksyen 21B, ACKHT 1976), yang pada masa kini hanya boleh dilakukan di Kaunter Bayaran, juga boleh dibuat menerusi kaedah e-bayaran.
“e-TT merupakan sistem yang akan menjana Nombor Akaun Maya (Virtual Account Number, VA) sebagai identiti pengenalan bayaran.
“Pembayar cukai yang ingin membuat bayaran cukai menerusi kaedah pindahan telegrafik (TT) dari dalam dan luar negara dikehendaki mengakses Sistem e-TT,” kata kenyataan itu lagi.
Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan Sistem e-TT boleh diakses menerusi portal rasmi LHDN.
“Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh diajukan kepada LHDN menerusi Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); Live Chat; dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM,” katanya lagi.