
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengumumkan Program Khas Peremitan Pendapatan (PKPP) yang ditawarkan pada
16 November tahun lalu akan ditamatkan serta merta bermula hari ini.
Menurut LHDN, ia susulan daripada pengumuman oleh Kementerian Kewangan bertarikh 30 Disember tahun lalu berkenaan penambahbaikan dasar layanan cukai terhadap pendapatan luar negara.
Sehubungan itu, LHDN telah membuat keputusan untuk menamatkan PKPP yang telah ditawarkan tersebut berkuat kuasa mulai tarikh hari ini.
“Keputusan untuk menamatkan PKPP ini dibuat setelah mengambil kira pengecualian cukai yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan terhadap pendapatan daripada punca luar negara yang diterima di Malaysia oleh individu pemastautin (selain pendapatan perkongsian).
“Layanan pengecualian yang sama juga diberikan kepada pendapatan dividen daripada punca luar negara yang dibawa masuk oleh syarikat dan perkongsian liabiliti terhad.
“Pengecualian ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Perintah Cukai Pendapatan (Pengecualian) yang akan dikeluarkan di bawah seksyen 127 Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, menurut LHDN, walau bagaimanapun, pendapatan punca luar negara lain yang tidak dikecualikan dan dibawa masuk ke Malaysia mulai 1 Januari 2022 hendaklah dilaporkan di dalam Borang Nyata bagi tahun taksiran yang berkaitan.
Katanya, pendapatan luar negara yang masih tertakluk kepada cukai dan dibawa masuk ke Malaysia dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2022 akan dikenakan cukai pada kadar konsesi tiga peratus sepertimana yang diumumkan
melalui Bajet 2022 dan diperuntukkan di bawah Akta Kewangan 2021.
“Selepas tamat tempoh tersebut, kadar cukai asal akan terpakai mengikut kategori pembayar cukai yang berkenaan. Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh diajukan kepada HASiL melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/,” ujarnya