Loh Siew Hong mohon batal pengislaman 3 anaknya di mahkamah

0
3771
Loh Siew Hong

KUALA LUMPUR – Ibu tunggal yang mendapat hak penjagaan tiga anaknya yang memeluk agama Islam, Loh Siew Hong memohon pengisytiharan bahawa bekas suaminya tidak layak secara sah untuk mengislamkan mereka.

Siew Hong membuat permohonan membatalkan pengislaman anak-anaknya yang ditukarkan secara sepihak oleh bekas suaminya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, petang tadi.

Peguam Loh, Dr Shamsher Singh Thind mengesahkan, pihaknya menamakan Pendaftar Muallaf Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri sebagai responden.

“Loh terpaksa memfailkan permohonan ini kerana Maips telah memohon untuk mencelah dalam prosiding keluarga yang dimuktamadkan untuk meminda perintah hak penjagaan.

“Dia terpaksa memfailkan permohonan ini kerana Maips bertindak atas anggapan bahawa kanak-kanak itu beragama Islam,” katanya seperti dipetik Malaysiakini, hari ini.

Sebelum ini, Maips memohon mendapat akses bagi memberikan bantuan, panduan dan pendidikan Islam kepada tiga anak-anak Loh ketika di bawah jagaannya yang bukan beragama Islam.

Menerusi permohonan semakan kehakiman itu, Loh turut memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan pendaftaran penukaran agama anak-anaknya oleh Pendaftar Muallaf Perlis bertarikh 7 Julai 2020.

Selain itu, dia turut memohon beberapa pengisytiharan mahkamah antaranya Muhammad Nagahswaran tidak layak menukar agama anak-anak mereka kepada Islam berdasarkan peruntukan undang-undang.

Loh juga memohon perisytiharan bahawa enakmen negeri Perlis yang membenarkan ibu bapa tunggal mengislamkan anak di bawah umur tanpa kebenaran ibu bapa yang lain adalah tidak sah dari segi Perlembagaan.

Pada 21 Februari, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpus oleh Loh untuk disatukan semula dengan tiga anaknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here