Maklumat sulit bocor, UiTM buat laporan polis

0
121
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor

SHAH ALAM – Satu laporan polis dibuat oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhubung penularan laporan kronologi dalaman melibatkan isu pensyarahnya yang dikatakan menghina pelajar B40 semasa sesi pembelajaran dalam talian.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, maklumat tersebut adalah sulit dan tidak sewajarnya dikongsikan kepada orang luar atau tatapan umum.

Katanya, laporan tersebut adalah bertujuan untuk pihaknya melapor secara terperinci apa yang berlaku dan memahamkan pihak yang tidak berada di tempat kejadian.

“Sebenarnya kita ini hidup dalam zaman media sosial, saya faham keadaan itu. Kita ada undang-undang, ada maklumat rahsia (dokumen sulit).

“Kalau kata maklumat rahsia, maknanya orang yang menerima laporan itu, tak kiralah secara dalam talian atau email, sepatutnya hormatlah, tak boleh dikongsikan dengan sesiapa.

“Saya minta buat laporan polis dan ini sudah empat kali UiTM kena termasuk kes sugarbaby sebelum ini. Setiap kali ada isu yang melibatkan tular, saya akan ke balai polis dahulu,” katanya memetik laporan Kosmo!.

Terdahulu beliau menghadiri majlis penutupan minggu kreativiti pendidikan yang disempurnakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad di Kampus UiTM Puncak Alam di sini hari ini.

Roziah berkata, laporan itu bagi melindungi mahasiswa dan kakitangan UiTM dan diperlukan sekiranya ingin dibawa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) nanti.

Ketika ditanya sama ada kontroversi mempunyai perancangan jahat bagi menjatuhkan imej UiTM, Roziah tidak menolak kemungkinan tersebut dan lebih kepada mengambil peluang daripada isu yang terjadi ketika ini.

“Saya tak katalah, tetapi kita boleh bersangka begitu (jatuhkan imej UiTM), sebab macam terancam, kebocoran itu saya tidaklah rasa ada dirancangkan, cuma mungkin sikap oportunis.

“Saya lihat betul, kemungkinan perkara ini ada pihak yang merancang, tetapi di luar sana ramai orang yang mahu mengambil kesempatan. Mungkin imej UiTM sedikit tercalar, tetapi pada saya kalau mereka hendak rancang pun, sebagai ketua saya kena berdiri teguh di belakang mahasiswa dan kakitangan,” katanya.

Roziah turut memberitahu, keputusan mengenai tindakan lanjut terhadap pensyarah tersebut dijangka diketahui malam ini selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Khas yang turut melibatkan wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Insya-Allah keputusan dijangka dicapai pada malam ini tetapi itu kita akan salurkan kepada kementerian. Apa yang sudah terbocor (laporan kronologi) itulah sebenarnya pilihan yang akan dibentangkan.

“Selain itu, saya juga telah arahkan siasatan dalaman kepada para pelajar (yang menularkan video) dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat kesahihan bukti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here