Malakat Eco bina 4 perniagaan dalam masa 4 bulan di Turkiye

0
16
Outlet Tea Amo pertama di luar negara kini berada di Istanbul Turkiye.

CYBERJAYA – Empat jenis perniagaan berjaya dikembangkan oleh Kumpulan Malakat Eco di Turkiye hasil kunjungan Presidennya, Mohd Fadzil Hashim ke negara itu sejak empat bulan lalu.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, pengembangan perniagaan Malakat Eco itu dibuat selepas menilai potensi perniagaan yang besar di negara tersebut.

Empat perniagaan itu katanya adalah permulaan tadika Brainy Bunch dan jenama minuman Tea Amo, pembukaan hotel butik dan pemgimportan produk Turkiye ke negara ini.

“Perjalanan kami ke Turkiye pada awalnya bertujuan untuk mengembangkan jenama Brainy Bunch di luar negara melalui penglibatan dalam beberapa ekspo perniagaan.

“Di sana, kami melihat peluang yang cukup besar untuk mengembangkan perniagaan Kumpulan Malakat Eco yang mana kami sendiri tidak tahu pun sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Malakat Mall petang ini.

Menariknya kata Mohd Fadzil, kesemua rangkaian perniagaan yang baharu dibina itu terletak di tengah-tengah kota Istanbul yang mempunyai 25 juta penduduk dan 40 juta pelancong.

“Kafe Tea Amo kami mendapat sambutan yang luar biasa dalam kalangan masyarakat di sana, orang Malaysia di sana dan pelancong-pelancong Eropah.

“Boleh dikatakan setiap hari kafe Tea Amo penuh. Tarikan utama semestinya taufa yang tidak terdapat di negara itu,” kata Pengasas Malakat Mall dan Brainy Bunch itu lagi.

Coach Fadzil di depan tadika yang kini dijadikan Brainy Bunch pertama di Turkiye.

Sementara itu, pembukaan tadika pertama Brainy Bunch di Turkiye juga berjalan lancar dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Ogos tahun ini.

“Kami sudah selesai peringkat pengambil alihan tadika sedia ada dan guru-guru kami sudah sampai di sana dan ketika ini sedang menjalani latihan untuk penyesuaian korikulum Brainy Bunch,” katanya.

Selain itu katanya, Kumpulan Malakat Eco juga berjaya mengambil alih pemilikan bangunan dan tanah sebuah hotel butik yang dinamakan Malakat Istanbul Hotel.

“Hotel butik setinggi 5 tingkat ini berada dalam radius tarikan pelancongan utama di Istanbul dan tidak jauh dari Masjid Biru yang popular,” katanya.

Hotel butik pertama milik Kumpulan Malakat Eco iaitu Malakat Istanbul Hotel di Istanbul Turkiye.

Manakala kejayaan terakhir katanya adalah pembukaan portal import produk-produk Turkiye ke negara ini melalui Malakat Grocer.

“Sekarang sudah ada lebih daripada 10 kontena produk Turkiye yang dalam perjalanan dan ada yang sudah sampai

“Projek yang dicapai melalui jalinan kerjasama dengan pengedar dan peruncit di sana ini akan menjadi projek terbesar Malakat Eco,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here