Malakat Grocer ‘buka pintu’ kepada produk usahawan veteran TLDM

0
33
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany (tengah) membuat lawatan ke tapak pameran dan gerai jualan sempena Ekspo Usahawan Veteran TLDM 2022 di Malakat Mall, hari ini.

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat Eco bersetuju menyediakan sudut khas kepada produk-produk yang diusahakan usahawan Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Malakat Grocer.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Veteran TLDM Cawangan Kuala Lumpur, Kdr. Khairil Harriss Khairuddin (TLDM Bersara) berkata, persetujuan itu dicapai daripada perbincangan beliau bersama Presiden Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim.

“Semalam saya berkesempatan berbincang dengan Coach Fadzil dan beliau bersetuju menyediakan satu sudut atau rak khas untuk menempatkan produk-produk usahawan veteran di Malakat Grocer.

“Ini sudah tentu satu peluang yang sangat baik dan kami di persatuan veteran sangat berterima kasih kepada Malakat Eco yang berbesar hati memasarkan produk ahli,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Antara pengunjung ke gerai cenderahati sempena Ekspo Usahawan Veteran TLDM 2022 di Malakat Mall.
Mini Karnival Kerjaya turut diadakan sempena Ekspo Usahawan Veteran TLDM 2022 di Malakat Mall.

Beliau berkata demikian pada Ekspo Usahawan Veteran TLDM yang berlangsung selama dua hari di Malakat Mall, di sini.

Khairil Harriss berkata, melalui tawaran itu pihaknya akan bekerjasama dengan Malakat Grocer untuk mengenal pasti produk-produk yang berpotensi dan mencapai piawaian untuk berada di dalam pasar raya itu.

“Kita mempunyai ramai ahli yang terlibat dalam perniagaan produk dan ramai di antaranya sudah lama berada di pasaran tempatan.

“Melalui tawaran ini kami harap dapat sama-sama membuka peluang kepada ahli persatuan untuk mereka terus maju,” katanya.

Mengulas mengenai program yang julung kali diadakan itu, beliau berkata menerima sambutan luar biasa sehingga terpaksa menambah lot niaga kepada ahli.

“Pada mulanya kami menyediakan 30 tapak untuk veteran TLDM, 5 untuk tentera darat dan 5 lain untuk tentera udara.

“Disebabkan sambutan terlalu banyak, kami hadkan penyertaan kali ini kepada 61 lot,” katanya selaku Pengarah Ekspo Veteran TLDM.

Presiden Kumpulan Malakat Eco, Coach Fadzil Hashim membuat lawatan ke tapak pameran mini karnival kerjaya sempena Ekspo Usahawan Veteran TLDM 2022 di Malakat Mall.

Pada ekspo itu, penganjur menyediakan sesi penyuaian perniagaan melalui penglibatan selebriti, pendakwah, agensi dan pihak berkaitan dengan perusahaan kecil dan sederhana seperti TERAJU dan TEKUN.

Pengisian lain termasuk bual bicara perniagaan yang mengetengahkan Dr. Aida Firdaus Muhammad Nurul Azmi yang merupakan pakar teknologi makanan dari UiTM Shah Alam dan seorang lagi panel adalah Masnani Basirun yang merupakan bekas Pengarah SME Corp Pahang.

Ekspo yang berlangsung sejak semalam itu turut menyediakan peluang pekerjaan melalui Mini Karnival Kerjaya dengan penglibatan Perkeso, TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Harriss berkata, program itu turut disertai Yayasan Felda yang menawarkan tajaan biasiswa pendidikan kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

Program yang dibanjiri ribuan pengunjung itu juga dimeriahkan dengan persembahan muzik, ukiran ais dan aktiviti kanak-kanak.

Persembahan buskers sempena Ekspo Usahawan Veteran TLDM 2022 di Malakat Mall.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here