Mangsa banjir di PPS Terengganu menurun kepada 11,517 orang

0
11
Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Keadaan banjir di negeri ini semakin menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa-mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berkurangan kepada 11,517 orang pagi ini.

Jumlah itu berkurangan kira-kira 4,500 orang berbanding jumlah penempatan semalam, sejak banjir melanda negeri itu sejak Jumaat lalu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, keadaan itu dipengaruhi cuaca cerah dan baik yang menyaksikan banyak kawasan ditenggelami air sebelum ini mula surut.

“Semua mangsa melibatkan 2,961 keluarga di enam daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu itu ditempatkan di 50 PPS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Kemaman merekodkan jumlah mangsa terjejas banjir paling ramai iaitu seramai 4,967 orang dari 1,289 keluarga melibatkan penempatan di lapan PPS.

“Di Hulu Terengganu, seramai 4,554 mangsa masih berada di 18 PPS diikuti Dungun (1,478 orang), Kuala Nerus (274 orang), Kuala Terengganu (237 orang).

“Bagi daerah Setiu pula, setakat ini satu PPS masih dibuka di sana bagi menempatkan sebuah keluarga melibatkan tujuh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, keadaan cuaca di semua daerah dilaporkan baik dan tiada hujan.

“Jika keadaan ini berterusan, kita jangkakan lebih ramai mangsa terjejas banjir akan pulang ke rumah dan PPS ditutup,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here