
IPOH – Semua jemaah yang menunaikan solat di masjid dan surau di Perak dibenarkan merapatkan saf ketika solat fardu, solat Jumaat dan solat jenazah bermula solat Subuh pada 1 April ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, bilangan jemaah yang dibenarkan pula ialah mengikut keluasan ruang masjid atau surau.
Pada masa sama, bermula tarikh tersebut, solat Jumaat hanya boleh dilaksanakan di masjid dan Surau Diri Jumaat sahaja bukannya di semua surau seperti sekarang.
“Walau bagaimanapun, demi melindungi keselamatan para pelajar terutama yang berada di sekolah berasrama penuh, pengetua sekolah dan pengetua pusat-pusat pengajian sama ada universiti, maktab dan kolej, diberikan budi bicara masih boleh mengadakan solat Jumaat dalam surau, bangunan atau kawasan institusi masing-masing,” titah baginda lapor Utusan Malaysia.
Baginda bertitah demikian pada Sesi Sembah Taklimat Aktiviti Masjid dan Surau di Perak Fasa Peralihan ke Endemik di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, untuk solat Tarawih sepanjang Ramadan ini, jawatankuasa dan pegawai masjid dibenarkan menggunakan budi bicara menentukan bilangan rakaat Solat Tarawih yang difikirkan munasabah di masjid dan surau masing-masing.
Jelas baginda, ia boleh dilakukan atas pertimbangan meminimumkan risiko jangkitan dalam tempoh peralihan ini walaupun Perak pada lazimnya menetapkan 20 rakaat Solat Tarawih sepanjang Ramadan.
Titah baginda, untuk meminimumkan tempoh pendedahan jemaah kepada udara yang terperangkap dalam bangunan, tazkirah yang dibenarkan selepas solat Witir sepanjang Ramadan tidak melebihi 30 minit.
“Program qiamullail dan iktikaf pada waktu malam di masjid dan surau dibenarkan dengan mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan berpandukan nasihat Jabatan Kesihatan. Tadarus al-Quran, kuliah dan kelas pengajian juga dibenarkan di masjid dan surau,” titah baginda.
Baginda bertitah, hidangan berbuka puasa (iftar), hidangan selepas tarawih (moreh) dan hidangan sahur di masjid dan surau, dibolehkan dengan penyediaan makanan bungkus dan tidak dibenarkan jamuan secara hidangan terbuka, terutama selepas tarawih.
Sultan Nazrin bertitah, Pegawai Tadbir Agama Daerah setelah berunding dan mendapat persetujuan Orang Besar Jajahan atau Pegawai Daerah boleh mengeluarkan arahan menggantung mana-mana masjid dan surau daripada kelonggaran SOP yang diperkenankan itu dan mengenakan peraturan SOP untuk tempoh tertentu sekiranya angka jangkitan Covid-19 di kawasan berkaitan dianggap kritikal.
Baginda turut menitahkan agar semua aktiviti, pengurusan dan kesan terhadap perkara-perkara yang diperkenankan pada hari ini, dipantau dan dipersembahkan kepadanya secara berkala.
“Hasil rumusan daripada kelonggaran awal ini, akan menjadi penentu dan panduan kepada aktiviti yang akan diperkenankan untuk menyambut Hari Raya yang akan Beta umumkan pada waktu yang sesuai, setelah Beta berpuas hati bahawa risiko jangkitan berjaya diminimumkan dan dapat dibendung secara berkesan.
“Beta memahami harapan rakyat, namun rakyat perlulah mengamalkan budaya berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian. Bersyukurlah dengan apa yang telah dibenarkan ketika ini, yang jauh lebih baik daripada apa yang dilalui dalam dua Ramadan yang lalu.
“Rakyat sewajarnya bersyukur dengan pelangi harapan yang terlukis di kaki langit. Semoga pelangi harapan ini akan disusuli dengan pancaran sinar yang lebih terang menjelang Syawal nanti, agar Aidilfitri akan dapat disambut dalam suasana yang lebih meriah,” titah baginda.