
PETALING JAYA – Malang menimpa seorang wanita selepas ditampar rakan serumah yang berang kerana tindakannya bangun memasak di awal pagi.
Dalam kejadian di Bandar Utama di sini, polis menerima laporan daripada pengadu berusia 30-an yang mendakwa dipukul rakan serumah.
Tindakan itu dikatakan berpunca daripada rakan serumah yang mendakwa telah terganggu kerana bunyi bising ketika dia sedang memasak.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian yang terakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) itu juga telah tersebar di media sosial sejak 9 Mac lalu.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa sedang memasak didapur sebelum didatangi rakan serumahnya yang mendakwa bunyi memasak mengganggu tidurnya.
“Wanita terbabit kemudian menampar mangsa dan tindakan itu berkaya dirakam CCTV yang terletak di bahagian dapur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu kata Mohamad Fakhrudin, suspek sudah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian.
Dalam video berdurasi 15 saat yang tular semalam, seorang wanita yang sedang memasak ditampar oleh seorang lagi wanita.
Menurut hantaran yang dibuat pengadu di media sosial, suspek dikatakan telah bertindak menampar pengadu ketika dia sedang menyediakan makanan untuk keluar mendaki.
Menurut pengadu, suspek selepas itu mendakwa dirinya mengalami masalah anxiety.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.