Meor Zulfikar, Man Kuda sah perkuat cabaran Putrajaya Cyborg dalam Champion Cup STL

0
2157
Meor Zulfikar

KUALA LUMPUR – Pasukan Putrajaya Cyborg sah mendapat khidmat tekong terbaik STL Emas Anuar 2021/2022, Meor Zulfikar Mat Amin untuk bersaing dalam Champion Cup yang akan bermula pada minggu hadapan.

Menurut penolong jurulatih Putrajaya Cyborg, Azam Othman, selain pemain Perak Bison itu pasukan yang berpangkalan di Putrajaya itu turut memilih tekong berpengalaman dan bekas pemain kebangsaan, Noor Azman Abdul Hamid untuk memperkuatkan pasukan.

“Pemilihan Meor Zulfikar tekong yang kini berada di tahap terbaik bersama Azman atau lebih dikenali sebagai Man Kuda bakal menambah sengat untuk pasukan ini.

“Pengalaman yang ada pada kedua-dua pemain ini sudah pasti akan memberi kelebihan dan keyakinan untuk pasukan Putrajaya Cyborg,” katanya kepada Malakat Tribune selepas pasukan itu mengadakan perlawanan persahabatan bersama KPT Masum Knight di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Man Kuda

Dalam pada itu, Azam berkata, turut dikekalkan dalam pasukan itu ialah Shahril Rosdi yang telah bersama Putrajaya Cyborg selama empat musim.

Azam berkata, beliau yakin dengan gabungan pemain baharu dan sedia ada itu akan membuahkan hasil kepada Putrajaya Cyborg untuk meraih kejayaan dalam pertandingan Champion Cup nanti.

Meor Zulfikar diturunkan dalam aksi persahabatan menentang KPT Masum sebentar tadi

Sementara itu, tinjauan Malakat Tribune dalam perlawanan itu mendapati Meor Zulfikar diturunkan dalam perlawanan percubaan sebentar tadi.

Pada perlawanan persahabatan itu, Meor Zulfikar tampak dapat membentuk keserasian bersama pemain Putrajaya Cyborg yang lain terutamanya Suhairi Sulaiman yang merupakan apit kanan pasukan.

Meskipun dinobatkan sebagai tekong terbaik kejohanan, Meor Zulfikar, 26, tidak dapat meneruskan aksi dalam Champion Cup STL yang akan berlangsung di Johor Bahru bermula 20 Mac ini selepas Perak Bison gagal melayakkan diri.

Sebagai rekod hanya enam pasukan terbaik Liga Premier Emas Anuar dan dua pasukan daripada divisyen satu akan bersaing dalam Champion Cup.

Untuk kejohanan kali ini Putrajaya Cyborg diletakkan dalam Kumpulan B bersama Kuala Lumpur Thunders, Penang Black Panthers dan Melaka Titans.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here