Misi evakuasi rakyat Malaysia dari Ukraine berjaya capai matlamat – PM

0
10
Perdana Menteri meluangkan masa dengan anggota kumpulan rakyat Malaysia yang berjaya dibawa keluar dari Kiev, Ukraine sejurus ketibaan mereka di tanah air, petang tadi. – GAMBAR MALAYSIA AIRPORTS BERHAD

CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyifatkan misi evakuasi rakyat Malaysia dari Ukraine sebagai berjaya dan mencapai matlamat.

Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa menyambut ketibaan kumpulan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA), petang tadi.

Kumpulan terakhir yang melibatkan sembilan rakyat Malaysia dan dua tanggungan mereka telah dibawa keluar dari Kiev, Ukraine pada 26 Feb lepas dengan melalui jalan darat menuju ke Poland.

Diketuai Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine, Fadhilah Daud, kumpulan tersebut tiba di (KLIA) pada kira-kira 3.06 petang tadi dengan menaiki pesawat Qatar Airways penerbangan QR848.

“Kita bersyukur kerana walaupun kejadian agak membimbangkan di Ukraine tetapi kerajaan telah melakukan usaha yang terbaik untuk memastikan rakyat di Ukraine dalam keadaan selamat,” kata Ismail Sabru dalam satu sidang akhbar.

Beliau yang mengarahkan pelan evakuasi warga Malaysia di Ukraine itu diaktifkan berkata kesemua 24 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di negara itu telah berjaya dibawa keluar dalam misi evakuasi yang digerakkan bermula 24 Feb itu.

Ismail Sabri berkata, tujuh warga Malaysia yang tiba di tanah air hari ini terdiri daripada pegawai kedutaan Malaysia di Ukraine dan ahli keluarga masing-masing serta pelajar.

Menurutnya, empat rakyat Malaysia tidak pulang ke Malaysia tetapi memilih untuk berada di negara lain iaitu dua di Poland dan dua di Jerman.

“Kedutaan Besar Malaysia di Kiev kini ditutup sementara sejak 24 Feb susulan perkembangan di Ukraine.

“Rakyat Malaysia yang masih berada di Ukraine tetapi tidak berdaftar dengan kedutaan sebelum ini diminta supaya menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Warsaw, Poland sekiranya memerlukan bantuan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here