MPP UiTM selar tindakan pensyarah ‘hina’ pelajar, desak pengurusan jalankan siasatan

0
35

CYBERJAYA – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Se-Malaysia menyelar tindakan seorang pensyarah mengeluarkan perkataan yang disifatkan sebagai menghina mahasiswa daripada golongan B40 menerusi satu klip video yang menjadi tular semalam.

Yang Dipertua MPP UiTM, Rasydan Mohd. Hassan berkata, tindakan pensyarah itu, Profesor Dr. Ts Roshana Takim tidak wajar kerana bersifat menghina dan memperlekehkan golongan B40.

Beliau menjelaskan, UiTM telah dibina atas dasar untuk membantu lebih ramai mahasiswa Melayu dan bumiputera untuk mendapatkan pendidikan di peringkat tertinggi.

Kata Rasydan dalam satu kenyataan, hari ini, poihaknya turut meminta pengurusan UiTM menyiasat kejadian yang dianggap telah merosakkan imej universiti sambil menambah, pensyarah terbabit perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.

“Saya mewakili seluruh keluarga MPP UiTM mendesak pengurusan tertinggi universiti untuk membuat siasatan dan mengambil tindakan yang wajar dan selayaknya kerana pensyarah tersebut telah merosakkan imej universiti keramat ini

“Pensyarah tersebut perlulah memahami keadaan negara yang sedang berhadapan dengan situasi pandemik yang menyebabkan hampir semua rakyat di Malaysia berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil.

“Manifestasi yang sering disuarakan oleh pihak pengurusan universiti bahawa mahasiswa adalah tonggak universiti perlulah di zahirkan dengan mengambil tindakan tegas kepada pensyarah tersebut dan juga kepada mana-mana individu yang membuat tindakan sama selepas ini,” katanya.

Semalam, satu video memaparkan pensyarah itu memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer walaupun telah berada di semester kelima.

Video tersebut rata-rata menaikkan kemarahan netizen kerana pensyarah itu seolah-olah tidak bersimpati dengan kedudukan ekonomi keluarga pelajar berkenaan.

Dalam klip tersebut, pensyarah itu turut menyatakan dia tidak boleh ‘duduk’ dengan golongan B40 kerana kumpulan tersebut lebih mementingkan perkara lain berbanding pelajaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here