NADMA dianggap lemah, perlu distruktur semula

0
21
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kelemahan aspek pengurusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyebabkan Kabinet memutuskan meneliti dan memperkukuhkan semula organisasi berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid berkata, antara penyumbang kepada masalah itu juga adalah struktur NADMA yang kompleks sekaligus melemahkan pengurusan bencana di pelbagai peringkat.

“Struktur NADMA yang ‘padat dan berat’ menyebabkan berlaku kepincangan dalam pelaksanaan mekanisme pengurusan bencana berpaksikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat Daerah, Negeri dan Pusat.

“Struktur organisasi berkenaan yang disifatkan kecil dan hanya beroperasi di peringkat Pusat serta tidak mempunyai kakitangan di peringkat Negeri dan Daerah, telah menyukarkan koordinasi dan penyampaian maklumat dua hala secara terus dengan agensi-agensi di lapangan.

“Justeru, dengan alasan tersebut mewajarkan Kabinet memutuskan supaya struktur Nadma diteliti semula untuk diperkukuhkan selaras dengan pengurusan bencana negara,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mastura berkata, kelemahan paling ketara adalah isu rantaian perintah (chain of command) semasa kejadian banjir sewaktu Monsun Timur Laut 2021/2022 yang menjejaskan tindak balas bencana.

“Keupayaan Nadma juga terbatas untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana di peringkat setempat yang melibatkan pelbagai pihak meliputi komuniti, pertubuhan bukan kerajaan, kerajaan tempatan dan pihak swasta dalam usaha mengarus perdanakan pengurangan risiko bencana, kesiapsiagaan, pemerkasaan komuniti dan pendidikan,” katanya

Mastura berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang meminta kerajaan
menyatakan keperluan mendesak cadangan mewujudkan Nadma 2.0 yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berbanding menambah baik fungsi kecekapan dan keberkesanan Nadma yang sedia ada.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here