Najib dedah Tommy Thomas utus surat selesaikan bayaran tunggakan untuk keturunan Sulu

0
234
Tan Sri Tommy Thomas

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah menulis surat kepada peguam yang mewakili keturunan Sulu dengan menawarkan bayaran tunggakan sebanyak RM48,300 bagi menyelesaikan kes dari 2013 hingga 2019.

Najib berkata, malah bekas Peguam Negara ketika era Pakatan Harapan (PH) memerintah itu turut melahirkan kekesalan selepas Malaysia menghentikan pembayaran itu susulan insiden pencerobohan Lahad Datu.

“Yang saya tak faham ialah Peguam Negara masa kerajaan PH telah tulis surat pada tahun 2019 kepada peguam UK yang mewakili keturunan Sulu yang sedang saman negara kita untuk mengaku Malaysia kesal dengan pemberhentian bayaran dan menawar untuk bayar “tunggakan” dari tahun 2013 hingga tahun 2019 berjumlah RM48,300 bagi menyelesaikan kes.

“Saya memang tak faham kenapa dia kesal. Dia kesal bahawa “hanya” 10 ahli anggota keselamatan kita terbunuh atau apa?

“Lagipun, keturunan Sulu sanggup upah peguam UK untuk saman kita untuk pampasan berpuluh bilion ringgit di negara Sepanyol. Jadi, adakah Tommy dan kerajaan PH fikir bahawa keturunan Sulu akan hentikan kes setelah dibayar pampasan RM48,300 sahaja?” soalnya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Menurut Najib, ketika itu kerajaan PH juga tidak menghantar wakil ke kes mahkamah Sepanyol bagi pengurusan kes berkenaan.

Malah katanya, surat Peguam Negara itu dijadikan bukti dan alasan utama oleh peguam keturunan Sulu bagi menang kes itu atas sebab surat itu disifatkan sebagai pengakuan bahawa negara telah mengaku salah dan kesal.

“Surat tahun 2019 ini juga digunakan oleh peguam UK minggu lepas untuk sangkal pendirian peguam negara hari ini bahawa identiti waris terbabit diragui.

“Sekiranya kamu kata Malaysia sudah mengaku salah dan kesal, adakah kami masih berpeluang untuk menang kes ke?

“Sebab ini isu berat, saya nak tanya pemimpin-pemimpin kerajaan dahulu termasuk Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Guan Eng (Lim Guan Eng) dan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Adakah surat yang luar biasa bodoh ini diluluskan jemaah menteri masa itu ataupun ianya hanya surat dari Tommy sebagai Peguam Negara sahaja?

“Dan mengapa keturunan Sulu perlu tunggu dari tahun 2013 hingga kerajaan bertukar tangan pada tahun 2018 sebelum memulakan saman terhadap negara?” soalnya lagi.

Sementara itu, Najib turut membangkitkan isu kehilangan Pulau Batu Puteh tanpa penjelasan sebaik PH mengambil alih kerajaan.

“Jangan pulak kedaulatan Sabah turut hilang ataupun negara perlu bayar pampasan RM63 bilion akibat kelemahan dan kebodohan korang juga,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here