Onn Hafiz ucap terima kasih kepada Hasni kerana beri laluan

0
55
Datuk Hasni Mohammad (tengah) hadir dalam majlis mengangkat sumpah Datuk Onn Hafiz sebagai sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di Istana Bukit Serene di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengucapkan terima kasih kepada Datuk Hasni Mohammad di atas pengorbanannya bagi memberi laluan kepada pemimpin muda menerajui negeri itu.

Onn berkata, pengorbanan itu membuktikan bahawa bekas Menteri Besar Johor itu meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Johor.

“Pengorbanan yang dilakukan beliau untuk memberi ruang kepada orang muda bagi memimpin Johor sesungguhnya bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa negarawan beliau, tetapi juga membuktikan bahawa beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi negeri Johor.

“Insya-Allah, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada beliau yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.

“Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi,” katanya hari ini

Dalam pada itu, Onn turut berjanji untuk menunaikan segala janji yang telah dibuat oleh Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Saya memohon semua Bangsa Johor tidak kira bangsa, agama dan latar belakang untuk bersama dengan saya, bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri yang kita cintai ini.

“Saya juga ingin memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan kita atur bersama selepas ini akan mendapat keberkatan Allah SWT serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan negeri ini dan setiap dari rakyatnya.

“Saya percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua. Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here