PAPSMA beri jaminan pengambilan pekerja asing diuruskan dengan cepat melalui 501 agensi berdaftar

0
111
Dr Sukumaran Nair

CYBERJAYA – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyambut baik langkah Kementerian Sumber Manusia untuk membenarkan sejumlah 501 agensi pekerjaan swasta (APS) kategori lesen C menjadi pengantara kepada mana-mana majikan dalam permohonan dan proses pengambilan pekerja asing ke Malaysia.

Setiausaha Agungnya, Dr. Sukumaran Nair berkata, pihaknya memberi jaminan akan mematuhi dasar dan prosedur ditetapkan kerajaan. 

Beliau berkata, pihaknya turut berharap Kementerian Dalam Negeri khususnya Jabatan Imigresen dapat memberi pengiktirafan serupa kepada APS terlibat sebagai identiti sah.

“PAPSMA mencadangkan supaya satu kaunter khas untuk APS ini diwujudkan terutama di Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen di setiap negeri bagi memudahkan pengambilan pekerja asing bagi pihak majikan.

“Lebih separuh daripada 300,000 permohonan daripada majikan meminta kami menjadi perantara mereka dalam melaksanakan proses pengambilan pekerja asing memandangkan penggunaan sistem baharu FWCMS adalah merumit dan menyukarkan majikan biasa untuk mendapatkan kelulusan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Sukumaran berkata, sebagai agensi profesional dan berpengalaman, pihaknya akan memastikan proses permohonan dapat diuruskan dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi membantu sektor perniagaan yang kekurangan pekerja akibat pandemik Covid-19 dapat beroperasi semula.

Katanya, APS juga memainkan peranan penting dalam mencari dan mendapatkan pekerja  bersesuaian dengan kemahiran yang betul untuk memenuhi kekosongan pekerjaan selepas ramai pekerja asing meninggalkan negara selepas tamat kontrak kerja mereka.

“APS juga berperanan mengenal pasti ejen pengambilan pekerja asing di negara sumber untuk mencari dan merekrut pekerja mahir dan berpengalaman yang betul untuk industri dan sektor sesuai bagi majikan di Malaysia.

“PAPSMA dan ahli-ahlinya telah mendepositkan jaminan bon sebanyak RM250,000 bagi setiap lesen pengambilan di bawah kategori C pasti akan menjalankan perniagaan secara beretika dan sah agar wang deposit mereka tidak dirampas atas sebarang kesalahan di bawah Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here