PAPSMA gesa kerajaan guna ejen berdaftar untuk kurangkan birokrasi ambil pekerja asing

0
25
Dr Sukumaran

CYBERJAYA – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menggesa Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri turut menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi pekerjaan yang bernaung di bawahnya untuk mempercepatkan pengambilan pekerja asing dari negara sumber.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. Sukumaran Nair berkata, pihaknya memberi jaminan proses permohonan yang dibuat pihaknya dapat memendekkan masa dan memudahkan urusan kemasukan ratusan ribu pekerja asing ke Malaysia.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya bimbang dengan penggunaan sistem FWCMS yang digunakan kerajaan sekarang melambatkan proses permohonan itu selepas banyak masalah dan gangguan timbul.

Katanya, keadaan itu menyebabkan majikan sangat sukar memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam sistem platform digital tersebut. 

“Permohonan adalah sangat ketat dan proses kelayakan untuk kelulusan, memerlukan banyak dokumentasi dan kriteria yang perlu dipenuhi.

“PAPSMA menggesa permohonan melalui sistem itu diperhalusi semula bagi memudahkan kemasukan dan kelulusan supaya tempoh masa pengambilan pekerja asing bagi memenuhi jurang kerja besar dapat dipendekkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PAPSMA yang mewakili majoriti agensi berlesen C berharap dapat diberi kuasa untuk menjadi fasilitator kepada majikan dalam pengambilan pekerja asing ke Malaysia.

Malah katanya, sokongan daripada  Kementerian Sumber Manusia juga sangat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan agensi berdaftar di bawah PAPSMA.

Beliau berkata, agensi di bawah PAPSMA berisiko untuk menutup perniagaan mereka dan mengalami kerugian akibat tidak dapat berfungsi walaupun terletak di bawah kategori lesen diluluskan oleh kementerian itu. 

“Kami mempunyai kira-kira 1,100 agensi pekerja asing berdaftar dan berlesen setakat ini berbanding dengan lebih 10,000 ejen haram di negara ini. 

“Jika kami tidak diberi mandat seperti yang diluluskan dalam lesen, kami mungkin menutup operasi dan menutup perniagaan. Kami ‘dilahirkan’ oleh Kementerian Sumber Manusia dan apabila kementerian tidak menyokong perkhidmatan kami, kami mengalami situasi yang sama dengan semua ejen haram lain dan tidak dibenarkan menjalankan perniagaan pengambilan pekerja asing di negara ini,” katanya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan semalam berkata, pihaknya sudah menerima sebanyak 200,000 permohonan kemasukan pekerja asing dari Bangladesh ke Malaysia.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya  sedang menapis setiap permohonan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here