Pas tidak akan bubar DUN Terengganu, Kelantan dan Kedah hingga tamat penggal

0
46
Pas

CYBERJAYA – Pas memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu, dan Kedah sehingga penggal tamat pada tahun hadapan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

“Pas mengikuti perkembangan semasa politik tanah air, di samping fokus yang perlu diberikan terhadap usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi negara yang bakal memasuki fasa endemik.

“Justeru, Pas membuat pendirian supaya DUN bagi Kelantan, Terengganu, dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya, bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Menteri Besar Ne­geri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, enam buah negeri termasuk Negeri Sembilan dijangka tidak membubarkan DUN masing-masing sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perkara tersebut dibincangkannya bersama lima buah negeri lain ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja di ibu negara baru-baru ini.

Bagaimanapun Aminuddin tidak menyebut lima negeri lain yang turut membuat pendirian sama.

Sebagai rekod Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan ditadbir Pakatan Harapan (PH) manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu diterajui oleh Pas yang merupakan rakan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Sehingga kini empat Pilihan Raya Negeri (PRN) telah diadakan sebelum penggal PRU14 tamat iaitu Sabah, Melaka dan Johor selain Sarawak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here