Pelajar perubatan India maut dalam serangan bom di Kharkiv

0
47
Naveen Shekharappa Gyanagoudar maut dalam satu serangan oleh Rusia ke atas Ukraine, semalam

KHARKIV – Seorang pelajar India terbunuh dalam satu serangan di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine pada pagi semalam ketika beribu-ribu warga India menunggu untuk dikeluarkan dari negara bergolak itu.

Naveen Shekharappa Gyanagoudar,21, pelajar jurusan perubatan maut ketika beratur untuk mengambil makanan di sebuah lokasi di Kharkiv.

Memetik laporan media tempatan, sebelum kejadian mendiang sempat menghubungi ayahnya dan memberitahu mengenai kesukaran untuk mendapatkan makanan dan minuman selepas berlindung di sebuah ‘bunker’ atau tempat perlindungan bersama beberapa orang pelajar lain dari Karnataka, India.

Dalam pada itu jurucakap Kementerian Luar Arindam Bagchi berkata, Setiausaha Luar India akan memanggil duta Rusia dan Ukraine untuk mengulangi permintaan bagi laluan segera yang selamat untuk warga India yang masih berada di Kharkiv dan bandar-bandar di zon konflik lain, memetik laporan Bernama.

“Dengan amat dukacita kami mengesahkan bahawa seorang pelajar India terkorban dalam serangan di Kharkiv pagi ini. Kementerian sedang berhubung dengan keluarganya,” ciap Bagchi di Twitter.

Sementara itu, Kedutaan India di Kiev meminta warga India meninggalkan ibu negara Ukraine dengan segera.

“Semua warga India termasuk pelajar dinasihatkan meninggalkan Kiev dengan segera hari ini. Sebaik-baiknya dengan kereta api yang ada atau melalui mana-mana cara lain yang ada,” katanya dalam satu makluman.

Warga India yang terkandas di Ukraine sedang cuba untuk sampai ke negara jiran, termasuk Poland, Slovakia dan Romania, untuk mendapatkan penerbangan membawa mereka pulang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here