Pemandu lori berlagak samseng tahan Axia dipandu pemandu wanita didapati positif dadah

0
87
Seorang pemandu berlagak samseng jalanan dengan menghentikan kereta dipandu seorang wanita yang tular dalam media sosial sejak semalam

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori yang bertindak ala samseng jalanan dengan menahan sebuah kereta yang dipandu seorang perempuan di sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Bukit Jalil menghala Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, ujian saringan air kencing terhadap lelaki berusia 40-an itu didapati positif dadah jenis methampetamine, ketamin dan amphetamine.

“Kita telah menjalankan SJR itu pada pukul 10 pagi, sejam kemudian seorang pemandu kereta jenis Perodua Axia yang melalui sekatan itu mendakwa pemandu lori berkenaan disyaki telah mengganggu dan berselisih faham dengannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pemandu lori itu telah diarahkan untuk berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut.

Namun begitu katanya, lelaki itu cuba meneruskan perjalanan dan enggan berhenti serta bercakap dengan nada suara yang tinggi.

“Akhirnya, kenderaan tersebut dapat diberhentikan setelah dipaksa, pemandunya telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Anbalagan berkata, ujian saringan alkohol turut dijalankan, namun didapati pemandu tersebut tidak mabuk.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 78(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, pihaknya memohon pemandu Perodua Axia tersebut untuk tampil membuat laporan polis jika ada sebarang perlakuan jenayah oleh pemandu lori itu.

“Kita juga memohon pemilik ‘dashcam’ yang merakam kejadian untuk tampil membantu bagi memberi keterangan kepada pihak polis,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here