Pembela tidak berdiam diri, akan pertahan akidah 3 remaja mualaf

0
798
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) tidak berdiam diri dan akan bertindak bagi mempertahankan akidah tiga remaja mualaf selepas ibunya memfailkan pembatalan pengislaman mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Menurut Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya, pihaknya telah berhubung dengan pihak peguam dan pihak lain untuk menggerakkan langkah strategik bagi mempertahankan akidah anak-anak berkenaan.

“Saya dimaklumkan, pasukan peguam-peguam Muslim terutamanya bagi pihak majlis agama sedang membuat persiapan yang sepatutnya.

“Insya-Allah, saya akan hubungi rakan-rakan peguam, pertubuhan dan pemegang taruh yang berkaitan untuk rancang menggerakkan langkah-langkah strategik untuk mempertahankan aqidah anak-anak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, ibu kepada anak-anak berkenaan, Loh Siew Hong memohon pengisytiharan bahawa bekas suaminya tidak layak secara sah untuk mengislamkan mereka.

Siew Hong membuat permohonan membatalkan pengislaman anak-anaknya yang ditukarkan secara sepihak oleh bekas suaminya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menempelak segelintir pihak yang mendakwa pertubuhan Islam yang cuba mempertahankan akidah remaja tersebut sebagai zalim.

“Akhirnya apa yang kita takuti sudah pun berlaku. Melihat kepada pendirian-pendirian hakim-hakim di mahkamah tinggi dalam isu-isu syariah dan Islam, lagi merunsingkan saya.

“Mana dia mereka-mereka yang mengecam kita yang mengatakan kita zalim kerana memisahkan ibu dan anak? Yang mengatakan bahawa anak-anak ini dipaksa memeluk Islam? Yang mengatakan kerisauan kita bahawa anak-anak ini akan dimurtadkan oleh si ibu adalah sangkaan semata?

“Macam-macam kita dilabel dan ditohmah kononnya kita ekstrem, tidak harmoni dan macam-macam lagi.

“Saya tidak tahulah apa perasaan mereka ketika ini, tatkala anak-anak ini cuba dimurtadkan melalui mahkamah. Apakah masih ingin jadi naif dan ‘rahmah’ tak tentu pasal?” soalnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here