
CYBERJAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki hari ini mengulangi kekecewaannya terhadap ‘penolakan’ tuntutan pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Dr. Asyraf berkata, tuntutan pengeluaran untuk kali terakhir rakyat daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu masih menemui jawapan dan penafian yang sama.
Menurutnya, jawapan yang dikemukakan oleh Tengku Zafrul seperti langsung tidak mengambil kira keperluan rakyat untuk meneruskan kehidupan dalam pasca pandemik Covid-19.
“Bagaikan sudah mati rasa dan tidak mahu memahami kesulitan, kesusahan dan keperitan rakyat yang mahu memulakan kehidupan pasca pandemik ketika ini,” katanya bagi membalas kenyataan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul sebelum itu berkata, kerajaan perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM63 bilion sekiranya pengeluaran sebanyak RM10,000 diluluskan untuk 6.3 juta ahli yang layak memohon.
Keperluan itu juga kata Zafrul memerlukan KWSP menjual aset-aset yang dimiliki di luar negara pada harga yang rendah dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Dr. Asyraf bagaimanapun berkata, jumlah pengeluaran itu tidak mungkin akan mencecah RM63 bilion sekiranya jumlah pemohon hanya 6.3 juta.
“Jika dilihat trend pengeluaran i-Citra pun hanya RM21 bilion. Takkan lah pengeluaran kali terakhir sampai RM63 bilion?” soalnya di media sosial hari ini.
Asyraf Wajdi menjangkakan jika kerajaan membenarkan i-Citra Plus buat kali terakhir, berkemungkinan hanya sekitar RM20 bilion sahaja atau lebih rendah berbanding i-Citra terdahulu.
“Jadi kenapa susah sangat nak memenuhi tuntutan rakyat yang amat memerlukan ketika ini?” soalnya.