Pengangkutan awam darat antara Malaysia, Singapura dibenar beroperasi mulai 1April

0
8
Tambak Johor

CYBERJAYA – Semua kelas perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam rentas sempadan di antara Malaysia ke Singapura akan dibenarkan untuk beroperasi bermula 1 April ini susulan pembukaan pintu sempadan negara.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mulai tarikh itu, kedua-dua negara akan membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan Covid-19.

Beliau berkata, ia termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

“Kebenaran ini adalah terpakai kepada semua kategori pengembara dan penggunaan semua jenis pengangkutan darat, termasuk semua kelas kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan seperti bas henti-henti, bas ekspres, bas pelancongan, bas pekerja dan teksi rentas sempadan.

“Oleh yang demikian, semua operator perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam dalam negara yang berkaitan boleh membuat persiapan ke arah memulakan semula operasi mereka termasuk memperbaharui semua permit atau lesen yang berkaitan, sama ada dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau dengan pihak berkuasa di Singapura,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, penyediaan atau permulaan perkhidmatan sebenar adalah tertakluk kepada kesediaan operator yang terlibat untuk memulakan operasi mereka semula kepada orang ramai.

Sehubungan itu katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak operator yang berkenaan mengenai status pengoperasian perkhidmatan rentas sempadan yang bakal disediakan.

“Semua operator kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan juga diingatkan untuk mematuhi semua garis panduan (SOP) kesihatan sedia ada, termasuk menyediakan kod QR di dalam kenderaan perkhidmatan awam yang beroperasi.

“Semua operator juga hendaklah memastikan kod QR diimbas oleh penumpang bagi tujuan pengesanan. Namun, selaras dengan ketetapan semasa, pihak operator tidak perlu membuat sebarang pemeriksaan sebelum menaiki kenderaan bagi menyemak status vaksinasi penumpang.

“Operator atau pemandu kenderaan perkhidmatan awam boleh menolak daripada menyediakan perkhidmatan kepada mana-mana pengembara yang tidak mematuhi SOP kesihatan semasa seperti pemakaian pelitup muka.

“Adalah menjadi tanggungjawab pengembara untuk memastikan mereka telah mempunyai aplikasi MySejahtera yang sah di dalam telefon pintar dan memenuhi semua syarat-syarat pengembaraan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Ka Siong berkata, kegagalan berbuat sedemikian akan menyebabkan tindakan boleh diambil kepada pengembara berkenaan termasuk dikenakan tindakan kompaun atau penalti di bawah undang-undang sedia ada yang berkaitan.

“Mana-mana pengembara yang akan menggunakan kenderaan motokar persendirian ke Malaysia pula diingatkan untuk mendaftar dan mendapatkan permit kemasukan kenderaan asing dengan melayari laman web [https://vep.jpj.gov.my/].

“Kenderaan yang telah berjaya mendaftar akan dibekalkan dengan tag RFID-VEP yang turut dilengkapi dengan aplikasi e-wallet Touch n Go bagi tujuan pembayaran Caj Jalan (RC) dan tol,” katanya.

Selain itu, katanya, semua kereta persendirian berdaftar Singapura juga dikehendaki membayar Caj Jalan (RC) (RM20 setiap kemasukan) apabila masuk ke Malaysia (melalui lintasan masuk di BSI dan KSAB).

Beliau berkata, bagi kenderaan yang telah didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran untuk RC boleh dibuat melalui e-wallet Touch n Go yang digabungkan dalam tag RFID.

“Kenderaan berdaftar Singapura yang masih belum didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran untuk RC masih boleh dibuat dengan menggunakan kad Touch n Go.

“Semua pengembara yang memandu kenderaan persendirian pendaftaran Singapura hendaklah memastikan kad Touch n Go mereka masih sah dan mempunyai baki yang mencukupi dalam e-wallet atau kad Touch n Go mereka untuk membayar RC bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan apabila memasuki Malaysia di BSI atau KSAB,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here