
JOHOR BAHRU – Tindakan seorang pengundi yang turun mengundi walaupun masih dalam tempoh kuarantin kerana positif Covid-19 mengundang padah apabila dikompaun RM1,000.
Pengundi wanita yang hadir untuk membuang undi di Dewan Kampung Melayu Majidee di sini bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin itu dikesan selepas pemeriksaan pada aplikasi MySejahteranya.
Menurut wanita berkenaan, dia hadir untuk menunaikan tanggungjawab mengundi selepas dimaklumkan boleh buat demikian walaupun masih dalam tempoh kuarantin.
Selepas pemeriksaan dilakukan oleh Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, wanita berkenaan diarahkan pulang.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Aman Rabu berkata, notis kompaun itu dikeluarkan Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) kira-kira jam 11.45 pagi.
“Notis dikeluarkan atas kesalahan pengundi berkenaan hadir ke tempat mengundi yang mana siasatan awal mendapati wanita tersebut positif COVID-19 kategori dua.
“Adalah diingatkan bahawa individu-individu positif adalah dilarang untuk keluar dari tempat isolasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan, pengundi yang bergejala termasuk berstatus pesakit sedang disiasat (PUI) atau yang sedang dalam pemantauan (PUS) diberi kebenaran mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bagaimanapun kebenaran itu diberikan secara bersyarat yang mana kumpulan pesakit Covid-19 diadakan di khemah khas serta dipantau oleh pegawai kesihatan.