Peniaga rempuh polis hingga maut 2 tahun lalu dipenjara, denda

0
41
Gambar hiasan

KJANAG – Seorang ahli perniagaan yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lepas dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu selepas K Kalaichelvan, 45, hari ini menukar pengakuannya kepada bersalah atas empat pertuduhan termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian Koperal Safwan Mohamad Ismail, 31, di Lebuhraya Kajang-Seremban pada 2.10 pagi 3 Mei 2020, memetik laporan Harian Metro.

Kalaichelvan turut berdepan pertuduhan tidak mematuhi isyarat diberikan polis yang menghendakinya berhenti sebelum sampai di sekatan itu dan bagi kesalahan ini, dia dihukum penjara enam bulan.

Tertuduh, yang memiliki dua anak, turut dijatuhi hukuman penjara sebulan kerana memandu tanpa lesen.

Bagi pertuduhan ingkar PKP mengikut Seksyen 3(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020, Kalaichelvan dijatuhi hukuman penjara sebulan.

Bagaimanapun, Sayani memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.

Beliau turut menggantung kelayakan Kalaichelvan untuk memegang atau memohon lesen memandu selama lima tahun.

Terdahulu, peguam K Veeranesh Babu berkata anak guamnya telah insaf dan memohon agar hukuman yang dijatuhkan berjalan serentak.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim, yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman berat ke atas Kalaichelvan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here