Peralihan Monsun, MetMalaysia ramal hujan lebat, angin kencang dan ribut petir

0
79

CYBERJAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa kawasan di negara itu berikutan Fasa Peralihan Monsun yang dijangka bermula pada 14 Mac ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, peralihan fasa yang akan berlanjutan sehingga pertengahan Mei itu menandakan akan berakhir Monsun Timur Laut yang bermula sejak 3 November tahun lalu.

“Rantau negara ini akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Muhammad Helmi, menasihatkan orang ramai supaya berwaspada pada tempoh berkenaan dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.

“Dapatkan maklumat dari laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan ini.

“Orang ramai juga boleh menghubungi hotline Jabatan 1-300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here