
CYBERJAYA – Pusat beli belah Malakat Mall hari ini menjadi tuan rumah kepada pusingan pertama PUBG Mobile Grand Final.
Pusingan akhir yang berlangsung selama dua hari ini menyaksikan penyertaan 16 buah pasukan terbaik bersaing bagi merebut hadiah terkumpul bernilai hingga RM3,000.

Menurut wakil penganjur dari GamerMatix, Fazizi, juara kejohanan ini akan ditentukan menerusi pungutan markah yang dikumpulkan sepanjang dua hari penganjurannya.
“Kita langsungkan selama dua hari, yang mana pasukan bertanding akan bersaing dalam 5 pusingan sehari.
“Markah akan diberikan berdasarkan kedudukan terakhir mereka dalam setiap pusingan, dan apabila tamat 10 pusingan permainan esok, kita jumlahkan dan pemenang dengan markah tertinggi akan dinobatkan sebagai juara,” jelas Fazizi.
Tambah Fazizi, kejohanan ini merupakan platform kepada pasukan dan pemain e-sport amatur merasakan sendiri pengalaman menyertai sesebuah pertandingan.
“Ramai pemain amatur di luar sana yang ingin merasai sendiri pengalaman bermain di dalam sesebuah pertandingan.
“Jadi, kejohanan ini merupakan satu platform untuk mereka mendapat pengalaman dan merasai sendiri suasananya,” kata Fazizi lagi.