
CYBERJAYA – Butiran lanjut dan perincian mengenai peluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diumumkan KWSP dalam masa terdekat.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam kenyataannya memaklumkan, KWSP akan mengumumkan langkah-langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan ahli-ahli KWSP yang telah berkurangan.
Pengumuman itu susulan keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada tabung KWSP hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media petang ini berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai dan mengkaji keperluan sebilangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi.
Kerajaan sebelum ini telah membenarkan pengeluaran tiga skim daripada KWSP iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang berjumlah RM101 bilion dan melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik melanda negara 2 tahun lalu.