Perlawanan minggu terakhir STL ‘kecoh’, logo Astaf dipadamkan sebagai tanda protes

0
401
Seorang pegawai perlawanan memadam logo Astaf selepas badan induk sepak takraw Asia itu menerima kemasukan MSC sebagai ahli gabungan

IPOH – Perlawanan pada minggu terakhir Liga Super Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia di sini sedikit kecoh apabila logo Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) yang dipamerkan di papan iklan penaja dipadamkan.

Ia susulan badan sepak takraw Asia itu menerima Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) menjadi ahli gabungan sekali gus menolak permohonan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai ahli gabungan meskipun telah melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin sebanyak AS$15,000 (RM62,779.50).

Tinjauan Malakat Tribune di stadium berkenaan mendapati logo Astaf dipadamkan selepas berakhirnya perlawanan antara Penang Black Panthers dan Negeri Sembilan Antlers sebentar tadi.

Ruangan kosong itu kemudiannya digantikan dengan logo PSM.

Selain itu, papan penaja yang menunjukkan logo Astaf juga dialihkan ke lokasi lain.

Dalam pada itu, turut difahamkan menerusi perkembangan terbaharu itu, wakil Astaf dijangka tidak dijemput untuk menyampaikan hadiah pada hari Ahad ini.

Sementara itu, Astaf dalam satu kenyataan mengesahkan MSC sebagai ahli gabungan baharu badan induk itu pada tahun ini berdasarkan Perlembagaan Astaf.

Papan penaja Astaf yang dialihkan oleh penganjur

Menurut Abdul Halim, keahlian MSC dalam Astaf akan diperbaharui secara automatik selepas yuran tahunan dilakukan selain setiap ahli gabungan perlu mematuhi setiap undang-undang dalam Perlembagaan Astaf.

Pada 20 Mei tahun lalu, Jawatankuasa Disiplin Astaf menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan badan induk Asia berkuatkuasa serta merta selepas didapati bersalah susulan tindakan Presiden PSM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Ismail di atas kapasiti Timbalan Presiden Astaf menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada Februari.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti dimeterai 14 Mac 2008.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here