Perolehan tujuh aset baharu perkasakan TUDM

0
46

KUALA LUMPUR – Perolehan tujuh aset baharu yang dijangka dioperasikan menjelang 2024 mampu meningkatkan keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di masa hadapan.

Menurut Panglima TUDM, Datuk Seri Mohd. Asghar Khan Goriman, sejajar dengan pelan strategik CAP55, antara perolehan yang sedang dilaksanakan termasuk pesawat tempur ringan dwi fungsi ‘Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft’ (FLIT-LCA) yang akan mula beroperasi pada 2024.

“Keupayaan pertahanan udara juga akan dipertingkatkan dengan pelan perolehan tiga Sistem Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh (LORAD) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“TUDM juga sedang dalam proses perolehan beberapa aset lain iaitu sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) Medium Altitude Long Endurance (MALE-UAS) yang dijangka akan mula beroperasi pada 2024/2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan perintah ulung sebagai Panglima Tentera Udara ke-20 di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, katanya, selain MALE-UAS, TUDM juga kini dalam proses perolehan pesawat peronda maritim (MPA) yang dijangka akan dapat beroperasi pada 2025.

“Bagi pesawat UAS, kini ia di peringkat penilaian fizikal yang sudah disenarai pendek oleh Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan dan proses ini masih berjalan.

“Perolehan MPA masih di peringkat Kementerian Kewangan dan ada beberapa calon yang disenarai pendekkan, namun kita tidak akan dedahkan buat masa ini,” katanya.

Tambahnya lagi, satu perolehan lain membabitkan sistem radar pertahanan udara turut dijangka pada 2024 melalui jalinan diplomasi pertahanan bilateral bersama negara lain.

“Perolehan seterusnya adalah melalui program RMK-13 bagi melengkapkan keseluruhan sembilan radar yang diperlukan.

“TUDM juga merancang sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) mulai dari RMK-12 sehingga ke RMK-15 bagi meningkatkan keupayaan dalam mencegah sebarang bentuk ancaman udara,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here