
PETALING JAYA – Individu yang sudah dijangkiti Covid-19 dan selesai menjalani kuarantin tidak perlu membuat ujian ulangan bagi memastikan tiada lagi virus itu di dalam badan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana ujian seperti Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sangat sensitif dan akan mengesan kehadiran genetik virus itu.
“RT-PCR ini sangat sensitif dan akan mengesan kehadiran genetik itu dalam saluran pernafasan dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas dijangkiti, misalnya dalam tempoh ‘viral shedding’.
“Namun virus berkenaan sudah tidak dapat membiak dan individu itu (dijangkiti Covid-19) tidak mungkin boleh menyebarkan jangkitan kepada orang lain,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Hisham berkata, seseorang itu boleh dijangkiti Covid-19 jika mereka berada berdekatan dengan pesakit Covid-19 yang batuk atau bersin dan virus itu boleh tersebar terutama antara individu yang mempunyai kontak rapat.
“Jangkitan berlaku apabila titisan mengandungi virus dihirup melalui udara atau bersentuhan langsung dengan mata, hidung atau mulut seseorang. Virus ini lebih mudah merebak dalam persekitaran tertutup yang kurang ventilasi dan sesak.
“Ujian RTK Antigen (RTK-Ag) biasanya boleh mengesan jangkitan pada hari ketiga hingga ketujuh selepas seseorang terdedah kepada pesakit Covid-19, manakala RT-PCR boleh mengesan jangkitan seawal hari kedua hingga hari ke-14 selepas dijangkiti.
Justeru, ketepatan ujian RTK-Ag dan RT-PCR adalah bergantung kepada tempoh jangkitan sewaktu sampel diambil,” katanya.
Katanya, penggunaan RTK-Ag disarankan kepada individu bergejala atau berada dalam kumpulan berisiko tinggi sekiranya tidak bergejala.