PIP bakal pacu nilai dagangan Malaysia-Thailand cecah RM126 bilion menjelang 2025

0
18
TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (empat kanan) bersama Ismail Sabri melihat model replika PIP dan Bonded Road di di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping, Padang Besar, Perlis.

PADANG BESAR – Pembangunan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi antara Malaysia-Thailand dengan sasaran nilai perdagangan melebihi RM126 bilion menjelang 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, projek strategik nasional dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang mempunyai kelebihan dari segi faktor geografi itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan termasuk perdagangan rentas sempadan.

Beliau berkata, kerajaan juga komited dengan potensi PIP melalui penyediaan tiga infrastruktur luaran yang akan menghubungkan pelabuhan itu iaitu jajaran keretapi (spur line), jejambat (flyover) dan “bonded road” yang melibatkan peruntukan sebanyak RM340 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Ini merupakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan rentas wilayah dan negeri serta kawasan luar bandar, bandar dan sempadan sekaligus memastikan pembangunan lebih seimbang dan keterangkuman lebih baik selaras dengan RMK-12,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian PIP dan Insfrastruktur Sokongan di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping, Padang Besar yang dirasmikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini.

Ismail Sabri berkata, pembangunan PIP juga bakal menjadi nilai tambah kepada projek-projek strategik di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) iaitu Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ), dan Perlis Super Fruits Valley.

“Sukacita saya umumkan nilai dagangan terkini Malaysia-Thailand adalah berjumlah lebih RM96 bilion dan sejumlah RM44 bilion disumbangkan melalui perdagangan antara sempadan,” katanya.

Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata, pembangunan CVIA juga dijangka mentransformasikan Perlis dan ekonomi NCER melalui banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sekaligus mengurangkan penghijrahan rakyat negeri itu.

“Walaupun baru dilancarkan, CVIA telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, demi memastikan perkembangan ekonomi yang positif dalam wilayah pembangunan negeri, Kerajaan Perlis dan NCER perlu terus meningkatkan daya saing dalam era pasca Covid-19 bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.

“NCER kini berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah, yang mana unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Wilayah adalah antara 6.5 peratus dan 6.9 peratus dalam tempoh pemulihan 2022,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here