
CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua kementerian dan agensi terlibat telah mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan orang ramai susulan banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur sebentar tadi.
Perdana Menteri berkata, dalam kejadian banjir tersebut enam kawasan di pusat bandar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dan dinaiki air.
“Kementerian dan agensi telah mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan Keluarga Malaysia
“Elak melalui kawasan banjir kilat dan berhati-hati memandu sewaktu hujan,” katanya dalam satu ciapan menerusi laman Twitternya hari ini.

Terdahulu beberapa kawasan terjejas teruk akibat banjir susulan hujan lebat yang melanda Lembah Klang petang tadi.
Antara kawasan yang terjejas ialah Jalan Sultan Ismail-Jalan Ampang, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Raja Laut (Sogo), Jalan Kia Peng/Jalan Raja Chulan, Jalan Yap Kwan Seng (Depan Ibis Hotel) dan Kampung Periuk (dekat Kg Baru) di Dang Wangi.
Selain itu, turut dinaiki air ialah Jalan Pekan Salak Selatan, Cheras; Jalan Segambut, Sentul dan Lebuhraya Besraya – depan Nirvana Memorial, Brickfield.