
BERA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kebimbangan dengan kes kematian yang tinggi akibat kemalangan jalan raya yang melibatkan golongan belia di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata, berdasarkan statistik semasa golongan belia mencatatkan kes kematian tertinggi, iaitu secara purata sebanyak 7,077 kes.
Beliau berkata, ia mencecah hampir 50 peratus daripada kadar jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.
“Statistik ini menunjukkan golongan muda terdedah kepada risiko lebih tinggi semasa berada di jalan raya, dan ini merupakan cabaran utama pihak penguatkuasa untuk membendungnya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, bagi tahun 2019 hingga 2021, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah sebanyak 14,308 kes.
Beliau berkata, secara purata, sebanyak 4,769 nyawa terkorban di jalan raya setiap tahun dalam tempoh berkenaan.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, berdasarkan Aspirasi Malaysia, kerajaan berhasrat mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus, menjelang tahun 2030.
Sementara itu, menyentuh pemberian bantuan lesen itu, Ismail Sabri berkata, ia diberikan bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, terutamanya golongan B40 di kawasan Parlimen Bera.
“Menerusi Program BLKM ini, seramai 404 penduduk Orang Asli di Bera, mendapat Bantuan Lesen Memandu Motosikal (Lesen B2) selepas berjaya memenuhi semua kriteria yang ditetapkan.
“Bantuan ini membolehkan masyarakat luar bandar khasnya penduduk Orang Asli di Bera, menarik nafas lega dalam mengharungi kehidupan harian yang semakin mencabar.
“Dengan pemilikan lesen kelas B2 ini, golongan berkenaan dapat meningkatkan peluang mendapatkan pekerjaan dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi selain mengukuhkan pasaran tenaga kerja negara,” katanya.