PM perlu berbincang dengan PN sebelum bubar Parlimen – tegas Muhyiddin

0
102
Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbar selepas kekalahan PN dalam PRN Johor sebentar tadi

JOHOR BAHRU – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa keputusan untuk membubarkan Parlimen perlu dirunding dan dibincang dengan pemimpin tertinggi dalam Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu.

Pengerusi PN itu berkata, ia merupakan kesepakatan antaran PN dan Ahli Parlimen Bera itu ketika diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Persetujuan itu atas dasar beberapa perkara yang kita sepakati PN dan Perdana Menteri. Satu daripada yang kita persetujui bila mana Perdana Menteri nak buat keputusan untuk bubar Parlimen atau pun mendapat perkenan Agong untuk bubar Parlimen.

“Beliau hendaklah berunding dan berbincang dulu dengan pemimpin tertinggi dalam PN, itu perkara yang kita persetujui,” katanya dalam sidang akhbar di Johor Bahru malam tadi.

Terdahulu, BN meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan memenangi 40 kerusi DUN iaitu lebih dua pertiga kerusi.

Kemenangan itu menyebabkan terdapat desakan daripada sesetengah pihak yang mahukan pilihan raya umum disegerakan.

Dalam pada itu Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menegaskan, PN mempunyai bilangan Ahli Parlimen paling ramai dalam kerajaan dengan 72 Ahli Parlimen berbanding UMNO yang hanya memiliki 42 Ahli Parlimen.

Sementara itu, menyentuh keputusan PRN Johor, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, PN menerima dengan hati terbuka keputusan itu.

Bagaimanapun, katanya, kemenangan tiga kerusi iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Endau dan Maharani, menunjukkan penerimaan positif rakyat terhadap PN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here