PM seru semua pihak lupakan keputusan PRN, bersama-sama bangunkan Johor

0
10
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru supaya semua pihak melupakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam dan bersama-sama membangunkan semula negeri di selatan Semenanjung itu.

Perdana Menteri berkata, ia selepas rakyat negeri itu membuat pilihan dengan memilih Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan baharu.

“Rakyat Johor sudah membuat pilihan, semua pihak harus menerima dengan hati yang terbuka, lupakan pertandingan yang telah berlalu, duduk bersama sebagai keluarga besar Keluarga Malaysia untuk kita bersama-sama membangunkan negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, kemenangan besar pada PRN Johor adalah di luar jangkaan kerana ramai menjangkakan BN hanya boleh menang dengan majoriti mudah atau 35 kerusi.

“Kemenangan di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor semalam melebihi sasaran ditetapkan oleh parti.

“Saya percaya rakyat sudah boleh membuat perbandingan. Dulu mereka tidak boleh membuat perbandingan sebab negara diperintah BN selama 60 tahun, ramai rakyat waktu itu melihat kelemahan BN.

“Tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 rakyat sudah boleh menilai dan ternyata apa yang dijanjikan oleh parti lain tidak dipenuhi walaupun sudah diberikan peluang oleh rakyat. Rakyat menilai siapa yang lebih baik dan terbukti BN prihatin membantu rakyat. Disebabkan itu juga kita menang di Melaka. Dalam PRN Johor kali ini, rakyat mudah membuat pilihan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi Johor kerana memberikan kepercayaan kepada BN untuk menerajui kepemimpinan negeri berkenaan.

“Terima kasih kepada semua kepimpinan UMNO, BN, rakan-rakan parti BN dan semua jentera yang bekerja kuat memenangkan parti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here