
KUALA LUMPUR – UMNO menyifatkan sekarang adalah masa terbaik untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertepatan dengan kehendak dan suara akar umbi.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gesaan itu juga penting untuk mengembalikan mandat rakyat memilih parti yang mampu membentik kerajaan lebih stabil.
“Seluruh UMNO bahagian didukung oleh UMNO Perhubungan Negeri memperlihatkan kesiap siagaan bagi menggerakkan jentera terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
“Terutamanya apabila ketiga-tiga sayap menyebutkan bahawa mandat baharu rakyat hendaklah diperolehi dalam jeda waktu tertentu atas nasihat daripada Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenan daripada baginda,” katanya pada sidang akhbar di laman media Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Kuala Lumpur.
Bagaimanapun beliau menegaskan Perlembagaan Persekutuan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong tetap perlu dihormati dalam keputusan parti.