PRN Johor : Bossku terima penghargaan atas kemenangan BN

0
51
Dr. Ahmad Zahid

CYBERJAYA – Seluruh kepimpinan Barisan Nasional (BN) terhutang budi kepada Pengarah Kempen Parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyumbang kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) johor.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, kemenangan yang dikecapi BN dalam pilihan raya di Johor itu juga adalah sebagai ‘hadiah’ kepada bekas Perdana Menteri itu yang tidak pernah lelah berjuang.

Dalam ucapannya di Pejabat Badan Perhubungan UMNO negeri Johor malam ini, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada Najib yang disifatkan sebagai ‘pengarah’ utama dalam kemenangan BN.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada ‘kempen manager’ kita iaitu Datuk Najib Tun Razak. Walaupun dia diasak bertubi-tubi, walaupun difitnah setinggi gunung, dihina di seluruh negara tapi semangat beliau tetap kental dan utuh.

“Beliau bukan sahaja tahan uji tapi mempunyai ketahanan yang luar biasa. Mudah-mudahan kemenangan ini juga sebagai hadiah untuk Bossku,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan akan mengemukakan nama calon N.53 Benut, Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar yang akan mentadbir kerajaan negeri Johor yang baharu.

Beliau berkata, seluruh kepimpinan parti telah bersetuju dan akan mendapatkan perkenan daripada Sultan Ibrahim Iskandar.

“Saya akan mengemukakan nama Hasni kepada Tuanku sebagai Menteri Besar Johor.

“Insyallah atas perkenan tuanku beliau akan terus menjadi Menteri Besar Johor,” katanya.

Katanya juga, seluruh kepimpinan pusat parti akan terus membantu Hasni untuk melaksanakan semua ikrar dan ikrar negeri johor yang akan dimulakan dengan Belanjawan Johor 2023.

Beliau dalam masa yang sama turut menjunjung kasih kepada Sultan Johor kerana membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk kestabilan yang lebih utuh di negeri Johor.

“Mudah-mudahan kemenangan ini tidak mengecewakan Tuanku untuk BN mewujudkan kerajaan yang stabil di negeri ini.

“Untuk seluruh pengundi, bagi pihak BN kami ucapkan terima kasih kepada anda semua,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here