Puad Zarkashi mahu PM terima usul bubar Parlimen

0
17
Dr. Mohd Puad Zarkashi

CYBERJAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbangkan usul Bubar Parlimen yang ‘dilaungkan’ suara di peringkat akar umbi.

Ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu berkata, beliau yakin perkara itu akan diusulkan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu ini untuk pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.

Mohd Puad berkata, usul berkenaan juga diyakini akan sebulat suara disokong oleh perwakilan parti kerana ia akan menjadi keputusan parti.

“Sekiranya ia berlaku maka Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) kena akur dengan kehendak akar umbi Umno sebab dia datang daripada Umno.

“Maka suara akar umbi tidak boleh ditolak mentah-mentah apatah lagi sekiranya ia menjadi keputusan Umno.

“Setiap pemimpin, ahli atau sesiapa sahaja kena patuh keputusan PAU atau Majlis Tertinggi,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, pimpinan parti tidak menyekat perwakilan daripada menyuarakan sebarang isu, asalkan tidak sensitif pada PAU.

Isu pembubaran Parlimen menjadi hangat selepas laungan ‘Bubar Parlimen!’ berkumandang di pusat gerakan BN selepas kemenangan BN dalam PRN Johor 12 Mac lalu.

Insiden tersebut bagaimanapun mendapat teguran daripada sebahagian pemimpin parti yang menyifatkan tindakan itu biadap dan menjejas permuafakatan parti.

Dalam pada itu, Puad turut mempersoalkan mengapa kerajaan hari ini perlu dipertahankan lagi sedangkan ia memperoleh majoriti lemah dan hanya memberi kesan kepada ekonomi negara yang semakin terjejas.

“Macam mana nak percaya Bersatu, sebab berlawan dengan UMNO. Macam mana lagi nak percaya dengan PAS sebab berlawanan dengan UMNO. Jadi tidak ada sebab sekiranya perwakilan mendesak, maka pemimpin atasan UMNO atau Perdana Menteri (perlu) akur,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu juga menjangkakan usul mengenai Muafakat Nasional (MN) akan dibawa dalam PAU dan mungkin ada perwakilan akan mendesak diputuskan sama ada UMNO mahu “membuka pintu” atau menutup terus kerjasama dengan PAS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here