
CYBERJAYA – Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membidas sikap DAP yang lantang melabelkan parti Bersatu sebagai pengkhianat tetapi dalam masa sama menjadi broker untuk mengekalkan pemimpin daripada parti itu sebagai Perdana Menteri.
Malah Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, parti gabungan Pakatan Harapan (PH) itu turut menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk mengekalkan Perdana Menteri daripada UMNO.
“DAP menyatakan pengkhianatan Bersatu meruntuhkan mandat rakyat, tetapi DAP juga yang menjadi broker persefahaman MoU untuk mengekalkan Perdana Menteri dari Bersatu (seterusnya bersambung dengan Perdana Menteri dari UMNO),” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Rafizi yang mahu membuat kemunculan semula dalam politik turut membidas partinya yang dipermainkan oleh UMNO kononnya untuk menyokong calon PKR menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, tindakan yang telah dilakukan oleh parti-parti di bawah gabungan PH itu telah menyebabkan pengundi yang menyokong parti itu melihat tiada beza antara PH dan Barisan Nasional (BN).
“Terkini, pandangan terbaru ialah supaya PH mencari jalan bekerjasama pula dengan Perikatan Nasional (PN). Di mata ahli-ahli politik ini adalah strategi demi meningkatkan peluang memenangi pilihan raya.
“Di mata rakyat biasa, politik Malaysia sudah menjadi drama Keluarga 69 seperti yang dinukilkan Allahyarham P Ramlee dahulu.
“Rentetan peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas PRU14 meyakinkan sebahagian rakyat terutamanya pengundi atas pagar bahawa pertelingkahan politik di peringkat pimpinan negara hanyalah berkisar kepada agihan kuasa sesama mereka.
Baik daripada gabungan politik mana pun yang berkuasa, akhirnya kehidupan mereka tidak akan berubah. Yang berubah hanyalah siapa yang menjadi menteri dan mendapat keistimewaan yang datang dengan kedudukan. Sebab itu UMNO/BN boleh menang bergaya sedangkan sokongan rakyat di peti undi tidak banyak berubah sejak 2018.
Dalam keadaan sebahagian besar pengundi atas pagar merasakan PKR dan PH sudah tidak ada beza dengan UMNO/BN atau PN, sebahagian besar daripada mereka mengalami kelesuan politik. Mereka mual dengan isu politik kerana tiada perbezaan ketara dari gabungan-gabungan politik,” katanya.
Disebabkan keadaan itu, katanya, beliau mengambil keputusan untuk menyertai semula ke gelanggang politik dengan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti akan datang.