Saya bukan merajuk, tapi akan cuba betulkan parti dari luar dahulu – Mohd Khairuddin

0
57
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengumumkan akan kembali semula untuk menyertai PAS apabila tiba masa dan ‘misinya’ memperbetulkan semula pengurusan parti itu selesai.

Dalam temubual di Bernama TV malam tadi, bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga menempiskan khabar angin beliau akan menyertai UMNO atau menubuhkan parti baharu.

“Saya berhenti jadi ahli ada tujuan dan matlamat yang mana saya akan mengukur keadaaan dari masa ke semasa, sehinggalah berjaya mengajak PAS membetulkan kepemimpinan parti dan parti menang dengan cara terbaik.

“Saya juga tidak akan masuk UMNO,…selagi UMNO menjadi rakan dalam Muafakat Nasional (MN), saya boleh mesra selagi UMNO terus mengikut dasar dipersetujui MN… kekal bersama menjalankan budaya politik matang sejahtera,” katanya dalam sesi temubual yang disiarkan secara langsung di media sosial itu.

Beliau juga memberitahu tidak akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen sehingga Pilihan Raya Umum ke 15.

Mohd Khairuddin berkata, beliau akan menunggu masa yang sesuai sementara usaha memperbetulkan kepemimpinan PAS dapat dilakukan dari ‘luar’.

“Ada banyak kecelaruan dalam parti, saya tidak salahkan ahli, ini bukan isu membabitkan ahli akar umbi atau kepemimpinan di kawasan atau bukan Dewan Undangan Negeri (DUN), negeri tetapi ini isu pengurusan parti peringkat pusat.

“Saya sudah cuba betulkan di peringkat Jawatankuasa Pusat, melalui jawatan saya sebagai Pengarah Institut Strategik PAS Pusat dan ahli Majlis Syura Ulamak selaku Setiausaha.

“Segalanya perkara sudah saya bawa melalui saluran yang ada dan kemukakan dan bincangkan secara dalaman, tetapi dibocorkan dan menjadi fitnah kepada saya.

“Sedangkan sebagai ahli parti saya menjalankan tanggungjawab dan saluran yang ada tetapi kemuncaknya digugurkan dan akhirnya saya mengambil keputusan berhenti sementara daripada PAS,” katanya.

Khairuddin berkata, tindakan keluar parti yang dibuat juga tidak pernah melibatkan mana-mana ahli lain termasuk isterinya sendiri.

Ditanya sama ada tindakannya itu kerana merajuk selepas dilucutkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, beliau menafikan perkara itu.

“Kalau merajuk saya sudah ambil langkah lebih awal lagi. Sekarang saya membakar diri kerana saya sayangkan PAS dan ahli PAS,” katanya yang sudah bersama PAS sejak usia 16 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here