Saya masih sayang Pas – kata Khairuddin selepas umum keluar parti

0
80
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengumumkan keluar parti Pas dan menjadi wakil rakyat bebas berkuat kuasa serta merta.

Beliau berkata, surat tersebut telah dihantar kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengikut perlembagaan Pas

“Merujuk perlembagaan Pas, fasal 15 (1) (a) peberhentian ahli dengan permintaan sendiri.

“Maka dengan ini saya Mohd Khairuddin Aman Razali pemegang nombor keahlian Pas 313899 memohon untuk berhenti daripada  menjadi ahli Pas,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu Khairuddin merakamkan ucapan terima kasih kepada Pas atas peluang menjadi ahli sejak 1989 ketika berumur 16 tahun.

Katanya, beliau menjawat pelbagai jawatan dalam kepimpinan sejak tahun 1999.

“Daripada AJK dan ketua pemuda Pas kawasan hingga jawatankuasa Pas Pusat dan majlis syura ulama dengan jawatan tertinggi dan terakhir sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Pas kerana memberi peluang kepada saya menjadi calon dalam pilihan raya sebanyak dua kali seterusnya menjadi Ahli Parlimen Kuala Nerus sejak tahun 2013 dan berpeluang menimba pengalaman sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti,” katanya.

Sementara itu, ditanya perasaannya ketika ini, Khairuddin berkata, beliau masih sayangkan parti Pas.

“Saya juga menyeru semua ahli Pas untuk terus istiqomah dengan perjuangan Pas. Demikian surat saya yang dihantar kepada Takiyuddin tengah hari tadi.

“Alasan meninggalkan Pas sukar untuk dijawab. Masih sayang Pas dan akan menyokong Pas tetapi bukan sebagai ahli organisasi, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here