Sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk ditahan reman

0
41

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh perintah reman ke atas sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk berkaitan siasatan ke atas sebuah projek berjumlah RM85 juta membabitkan sebuah institut berkaitan automotif di negara ini.

Sumber menyebut, semua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 34 hingga 58 tahun itu dipercayai ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, petang semalam.

Katanya, semua suspek adalah empat pemilik syarikat dan masing-masing seorang penasihat perubatan, akauntan, pengarah syarikat, ketua eksekutif dan ketua pegawai operasi.

“Dua suspek lelaki yang direman selama enam hari itu dipercayai meminta dan menerima suapan lebih RM14.9 juta daripada tiga lagi suspek.

“Ia adalah sebagai balasan bagi membantu syarikat milik mereka mendapat geran menerusi tiga syarikat lain antara tahun 2018 hingga 2020,” katanya.

Perintah reman antara tiga hingga enam hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Tuan Shah Wira Abdul Halim terhadap semua suspek di Mahkamah Majistret, Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman itu.

Katanya, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here