
CYBERJAYA – Sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi bagi membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka dapat pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam masa terdekat ini, kerajaan sedang dalam proses melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat antara Brunei dan Thailand.
Langkah ini adalah sebagai menambah laluan VTL sedia ada melibatkan Singapura dan Indonesia yang masih dalam perancangan.
“Bagi merancakkan semula kegiatan ekonomi dan pelancongan khususnya di Johor, Kerajaan Persekutuan melaksanakan skim VTL udara dan darat dengan Singapura mulai 21 Jan lalu bagi memudahkan urusan pertemuan semula keluarga yang terpisah akibat pandemik Covid-19.
“Saya difahamkan seramai 200,000 rakyat Malaysia berulang-alik antara Singapura dan Johor. Mereka tidak perlu lagi menjalani kuarantin wajib di rumah kerana telah melaksanakan ujian saringan kesihatan sebanyak dua kali iaitu semasa bertolak dari negara luar dan semasa ketibaan di Malaysia,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika merasmikan pelancaran siri pertama Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana di Johor Bahru, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan, Perdana Menteri dijangka mengumumkan tarikh pembukaan sempadan negara pada minggu hadapan.
Kata Khairy, mesyuarat Kabinet semalam sudah mencapai kata sepakat mengenai pembukaan sempadan negara dan kini menunggu hal itu diumumkan oleh Perdana Menteri.