
CYBERJAYA – Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memaklumkan pihaknya sudah menjelaskan semua ‘hutang’ tunggakan gaji pemain selepas pengambil alihan pasukan itu.
Beliau berkata, semua hutang yang berada di bawah tanggungjawabnya selaku pemilik pasukan Pantai Timur itu sudah lama dijelaskan melalui bayaran RM6.8 juta.
Sehubungan itu katanya, sebarang tuntutan dilakukan oleh individu yang tidak termasuk dalam senarai perlu dirujuk kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa).
“Hutang ini adalah hutang warisan KAFA dan FAM juga sudah dimaklumkan tentang hutang-hutang yang bukan dalam kontrak adalah tanggungjawab pihak KAFA.
“Maka semuanya sudah diselesaikan ketika mesyuarat pada November 2021 bersama FAM dan KAFA juga sedia maklum akan hal tunggakan adalah kewajipan KAFA,” katanya dalam Facebooknya semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas pemain, Fauzi Roslan yang mendakwa masih mempunyai tunggakan gaji sebanyak RM63,600 dengan pasukan berkenaan.
Norizam yang merupakan pakar pelaburan dan pemilik Zamburger itu berkata, beliau tidak akan melayan tuntutan yang datang selepas bayaran kontrak.
“Alhamdulillah, semua hutang dalam perjanjian takeover RM6.8 juta saya dah selesai. Saya dah cakap berkali-kali dengan bukti, kita dah selesai bayar.
“Selepas selesai barulah muncul macam-macam orang yang aku tak tahu, tak pernah jumpa, nak claim bayaran tunggakan.
“Kalau saya bayar ini, nanti entah siapa-siapa lagi akan minta bayaran. Ini kerja gila.
“Buat masa ini, saya berada pada fasa kedua. Bina pasukan.
“Fasa pertama bayar hutang piutang warisan KAFA, saya dah selesai. Jadi, jangan kacau saya!”
Pada September 2020, Norizam membeli pasukan Kelantan FC pada harga RM6.8 juta menjadikan beliau pemilik sepenuhnya saham syarikat Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd