
KIEV – Penduduk bandar Konotop di timur Ukraine hari ini diberi kata dua oleh tentera Rusia, sama ada menyerah diri atau ‘berdepan kemusnahan’.
Terdahulu, komander tentera Rusia yang tidak dinamakan telah mengadakan rundingan dengan Datuk Bandar Konotop, Artem Semenikhin.
Laporan Guardian menyebut, komander Rusia tersebut hanya memberikan kata dua kepada Semenikhin.
Rakaman video sejurus rundingan tersebut menunjukkan komander tentera Rusia tersebut bergerak ke kenderaannya sambil memegang dua buah bom tangan di kiri dan kanan tangannya.
Sejurus rundingan tersebut, Semenikhin bertemu dengan penduduk bandar itu.
“Mereka telah memberikan kata dua kepada kita. Jika kita melawan, mereka akan musnahkan kita menerusi serangan artileri.
“Jika kamu semua sanggup, kita akan melawan. Siapa yang memilih untuk melawan?” kata Semenikhin yang disambut dengan laungan penduduk lain menandakan mereka juga mahu melawan.