Serangan Rusia mungkin ulangi insiden Chernobyl

0
78
Bandar Chernobyl yang ditinggalkan mati sejak lebih 30 tahun lalu selepas kebocoran nuklear di bandar negara Ukraine tersebut.

KYIV – Kerajaan Ukraine memberi amaran tragedi Chernobyl dengan kesan 10 kali ganda lebih dahsyat akan berlaku sekiranya loji nuklear Zaporizhzhia di tenggara negara ini meletup.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba berkata, loji nuklear terbesar di Eropah yang terbakar dalam serangan tentera Rusia itu akan mencetuskan malapetaka besar sekiranya meletup.

“Ia akan menjadi 10 kali lebih besar daripada bencana Chernobyl sekiranya meletup! Russia mesti segera menghentikan kebakaran, membenarkan anggota bomba, mewujudkan zon selamat,” kata melalui Twitter.

Sehubungan itu beliau menggesa tentera Russia supaya segera menghentikan serangan ke atas mana-mana loji nuklear di negara berkenaan.

Stesen nuklear di Zaporizhzhia, dilapor membekalkan kira-kira 40 peratus kuasa nuklear negara itu.

Kuleba berkata, tentera Russia sebelum ini telah melakukan serangan terhadap loji berkenaan dari segenap penjuru.

Sementara itu, Badan pemantau atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Russia berhenti menyerang loji kuasa nuklear Ukraine dan memberi amaran “bahaya teruk” jika reaktor itu meletup.

Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), RafaelMGrossi turut mengeluarkan kenyataan supaya loji janakuasa nuklear itu tidak diusik Rusia demi kepentingan manusia sejagat.

Dalam kejadian letupan reaktor nuklear di Chernobyl pada tahun 1986, kebocoran itu mengorbankan ribuan nyawa dengan kepulan asap yang membawa bersama bahan radioaktif terbang ke Rusia, Belarus bahkan sehingga ke utara hemisfera, Norway.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here