
CYBERJAYA – Penguasaan Barat khususnya Israel dan Amerika Syarikat dalam ekonomi dunia memberikan mereka kuasa untuk menekan sesiapa sahaja mengikut kehendak dan percaturan mereka.
Presiden Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim berkata, dominasi yang dimiliki oleh Amerika dan sekutunya dalam ekonomi dunia memberikan kuasa kepada mereka untuk terus menjadi pemilik dan pembuli ekonomi dunia.
Katanya, salah satu daripada senjata yang sering digunakan untuk melemahkan kuasa ekonomi sesebuah negara adalah melalui serangan inflasi yang melemahkan nilai sesuatu mata wang.
Beliau berkata, contoh terbaik adalah apabila tercetusnyua krisis Rusia-Ukraine yang menyaksikan kehebatan campur tangan ekonomi dilakukan Barat untuk menghancurkan ekonomi Rusia.
“Ya kita kecewa dengan apa yang berlaku dengan Ukraine yang sebenarnya memerlukan pemahaman isu sebenar sebelum boleh kita memahami situasinya.
“Tetapi ‘pemilik sistem’ telah melakukan suatu tindakan yang membuka mata hati kita bahawa dengan mudah mereka boleh menghancurkan sesuatu negara dengan hanya menekan beberapa suis ekonomi yang mereka kuasai!,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Selain Rusia, negara Turki juga merupakan antara negara yang telah dilemahkan ekonominya sehingga nilai mata wang negara itu jatuh merudum dalam masa lima tahun lalu.
“Di Turkiye, negara yang sangat hebat asas ekonominya dicuri hasilnya melalui serangan mata wang Turkiye hingga di saat ini menyaksikan wang mereka hilang nilai dari USD1 ke 5 TL (Lira Turki) hingga ke USD1 ke 14 TL!
“Maknanya jika anda ada 100k TL, 5 tahun dulu yang bernilai USD 20,000, kini 100k TL hanyalah bernilai USD 7,142 sahaja! Lebih 64% duit mereka dicuri!,” katanya.
Justeru, Mohd Fadzil berkata, atas kesedaran itu, umat Islam di negara ini perlu menyedari keperluan sebuah sistem ekonomi Islam yang bebas daripada cengkaman Barat.
“Saya ingin mengajak seluruh Ummat yang sedar untuk bersama kami Membina Ekosistem Ekonomi kita sendiri tanpa perlu bergantung kepada pemilik sistem ekonomi hari ini yang pada bila-bila masa boleh menggunakan kuasa mereka merompak segala hasil, pendapatan dan kekayaan yang kita perolehi hanya dengan menutup suis ekonomi yang mereka kuasai.
“Saya ingin menjemput rakan sefikrah dan telah sedar untuk sama-sama berfikir dan menyatu untuk kita bina bersama untuk kita bersama Membina Ekosistem Ekonomi Islam yang sebenar!
Mohd Fadzil berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan mengenai usaha itu dan menyeru orang ramai untuk menyertai.
“Sila daftar sokongan dan minat untuk bersama.
https://b24-htecqy.bitrix24.site/muafakat_komuniti/
“Kami akan hubungi setelah kami muktamadkan tarikh dan masa untuk perjumpaan kita,” katanya.